global

Nak lari ke mana?

Oleh AFP

EMPAT banduan ditembak mati manakala dua lagi cedera dalam cubaan melarikan diri dari penjara Papua New Guinea yang menyaksikan sembilan banduan lain berjaya melarikan diri.

Kejadian terbabit berlaku di penjara Buimo di Lae, bandar kedua terbesar negara itu selepas banduan berkenaan menggunakan pisau yang diseludup masuk semasa sesi lawatan, Sabtu lalu.

Akhbar PNG Post Courier melaporkan, mereka bertindak menikam seorang pengawal keselamatan sebelum memanjat tembok penjara.

Pada Mei tahun lalu, 17 banduan maut dibunuh polis, manakala 57 lagi berjaya melarikan diri dalam kejadian yang hampir sama.

Ketua Polis Lae, Superintendan Anthony Wagambie Jr berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemungkinan berlaku cubaan melarikan diri oleh banduan dan menghantar dua kereta peronda apabila sistem penggera berbunyi.

“Banduan yang berjaya melepasi tembok penjara itu berlari ke arah kereta peronda sebelum membaling batu dan kayu selain turut bersenjatakan objek tajam.

“Polis terpaksa melepaskan tembakan, membuatkan dua daripadanya maut serta merta manakala banduan ketiga pula meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah, diikuti banduan keempat yang ditembak mati tidak jauh dari kawasan penjara,” katanya kepada akhbar PNG Post Courier.

Jenis kesalahan dilakukan banduan yang berjaya melarikan diri itu tidak dapat dipastikan namun dalam kejadian tahun lalu, kebanyakan mereka dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rompakan bersenjata, mencuri kereta dan memecah masuk premis tertentu.

Majoriti penjara di Papua New Guinea sering berada dalam keadaan terlalu sesak dan kotor, menyebabkan cubaan melarikan diri sering berlaku.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 10:50am
d