global

Sang bedal tumpas selepas 8 tahun diburu

Oleh AFP

SEEKOR buaya air masin gergasi dengan berat melebihi 600 kilogram akhirnya berjaya ditangkap selepas lapan tahun usaha memburu haiwan itu dijalankan.

Haiwan sepanjang 4.7 meter berkenaan ditemui terperangkap dalam jerat yang dipasang di utara pekan Katherine selepas kali pertama dilihat pada tahun 2010.

Pihak berkuasa berkata, usaha menjerat buaya terbabit yang dianggarkan berusia 60 tahun sering berakhir dengan kegagalan selama ini.

Pegawai kanan hidupan liar, John Burke berkata, haiwan gergasi berkenaan menerima pelbagai nama gelaran berikutan amat sukar ditangkap.

“Ia agak mencabar tetapi anda perlu lihat pada saiz dan usia buaya itu. Anda perlu ada sedikit rasa hormat pada haiwan berkenaan,” katanya.

Ketua Operasi hidupan liar Wilayah Utara, Tracey Duldig berkata, buaya terbabit dibawa ke sebuah ladang untuk dipisahkan dari populasi penduduk tempatan.

“Buaya itu adalah yang terbesar pernah dipindahkan dari Sungai Katherine oleh Unit Operasi Hidupan Liar,” katanya dalam satu kenyataan.

Unit berkenaan menangkap sekitar 250 ekor ‘buaya bermasalah’ setiap tahun.

Buaya air masin sering terdapat di bahagian utata Australia dan membunuh purata dua orang setiap tahun.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 1:58pm
d