global

Lima sekeluarga ditemui mati

Oleh AFP

Paris: Lima sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak ditemui mati dalam sebuah apartmen di Paris, semalam, dalam kejadian yang dianggap pihak berkuasa akibat perbalahan keluarga.

Pasukan bomba yang dihubungi, bergegas ke lokasi kejadian di tengah Pau pada jam 6.40 pagi waktu tempatan selepas jiran melihat kepulan asap di kediaman itu.

Pau terletak di selatan Perancis, kira-kira 650 kilometer dari Paris.

Seorang jiran bimbang selepas melihat darah mengalir turun dari satu tingkap apartmen lalu cuba membuka pintu kediaman di tingkat pertama itu, namun gagal.

“Saya melihat aliran darah turun dari tingkap di seberang jalan,” kata seorang lagi jiran, antara 20 penduduk yang dipindahkan dari bangunan empat tingkat itu.

Menurut jiran, apartmen berkenaan dihuni lelaki Perancis bersama isteri berketurunan Sepanyol serta anak mereka berusia dua tahun.

Ibu bapa si isteri juga yang datang melawat dari Sepanyol turut berada dalam apartmen berkenaan.

Jiran terdengar bunyi bising pertengkaran besar kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan serta budak menangis.

Anggota bomba yang masuk ke dalam apartmen berkenaan menemui dua pasangan serta budak berkenaan dan sofa yang terbakar.

Menurut sumber yang rapat dengan pasukan penyiasat, wanita yang lebih muda diikat dengan pita pelekat di sekeliling lehernya.

Mayat ibu bapa wanita itu juga menunjukkan kecederaan akibat keganasan, manakala budak berkenaan kanak itu dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.

Timbalan Datuk Bandar, Jean-Paul Brin, mengesahkan siasatan awal menunjukkan kejadian itu akibat perbalahan keluarga.

Seorang rakan sekerja si isteri yang bekerja sebagai guru memberitahu akhbar Sud Ouest, baru-baru ini wanita itu membuat laporan polis mengenai sikap ganas suaminya.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:21pm
d