global

Soket mata retak kerana hembus hidung terlalu kuat

Oleh Daily Mail

London: Seorang wanita yang menghidap selesema menghembus hidungnya terlalu kuat hingga menyebabkan tulang pada soket matanya retak, lapor satu jurnal perubatan.

Dalam satu kes yang dilaporkan Jurnal Perubatan Britain, wanita berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan seperti dia ditumbuk dengan kuat di muka.

Wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Universiti North Middlesex pada tahun lalu akibat kehilangan penglihatan sementara dan matanya mula bengkak serta sakit.

Hidungnya juga berdarah dan mengadu mengalami sakit menyucuk di sebelah kiri kepala serta tangan kiri.

Selepas membuat imbasan CT, tulang soket mata wanita itu didapati retak dan doktor menganggap kecederaan itu sangat jarang berlaku.

Kecederaan itu berlaku akibat tekanan tinggi di kawasan berkenaan ketika wanita itu menghembus hidungnya dengan kuat.

Keretakan itu menyebabkan lemak mengalir ke saluran udara dan udara terperangkap di tisu di sekitar matanya.

Pesakit itu diberikan antibiotik dan ubat tahan sakit serta pulih sepenuhnya selepas beberapa minggu.

Dalam laporan berkenaan, wanita itu berkata, dia menghembus hidungnya dan beberapa saat kemudian penglihatan di kedua-dua mata kabur.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 12:13pm
d