global

'Kantoi' menyamar putera Arab Saudi

Oleh Agensi

FLORIDA: Kegiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai putera Arab Saudi dan memperdaya jutaan wang pelabur kaya di seluruh dunia akhirnya terbongkar selepas membuat kesilapan menjamah daging babi pada satu mesyuarat perniagaan.

Oddity Central melaporkan, Anthony Gignac yang berasal dari Colombia dikatakan mula melakukan kegiatan itu sejak 2015 dengan mewujudkan syarikat pelaburan tipu, Marden Williams International kononnya bertujuan mencari peluang pelaburan dalam perniagaan.

Menggunakan pelbagai nama samaran, dia kemudiannya menyamar sebagai putera Arab Saudi selama dua tahun dan berjaya menipu 26 mangsa dari seluruh dunia membabitkan jumlah bernilai lebih AS$8 juta (RM32 juta).

Dia turut membeli nombor plet diplomatik palsu dari laman eBay dan meletakkan perkataan ‘Sultan’ pada plet pintu rumah emper serta rumah agam yang menjadi lokasinya untuk menjerat mangsa yang rata-rata menyangkakan dia putera.

Penyamaran antara 2015 hingga 2017 itu menyebabkan dia berjaya mengumpul jutaan dolar di dalam akaunnya selain memiliki kereta mewah termasuk Ferrari dan Rolls Royce, jam Rolex, barangan kemas mewah serta sebuah kondo dua bilik ekslusif di Pulau Fisher di Biscayne Bay.

Pihak berkuasa yang kemudiannya dimaklumkan mengenai kegiatannya itu menyebabkan dia ditahan pada November 2017 dan bakal dihukum atas kesalahan menyamar sebagai pegawai kerajaan luar negara, mencuri identiti dan menipu.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 10:22pm
d