global

Paderi terkemuka Chile terbabit kes pedofilia ditahan

Oleh AFP

PADERI Katolik ternama Chile, Oscar Munoz yang memegang jawatan kanan dalam gereja Santiago ditahan semalam susulan tuduhan penderaan seksual membabitkan tujuh kanak-kanak.

Ia adalah kes terbaru skandal pedofilia yang menyelubungi gereja negara berkenaan kebelakangan ini.

Pendakwa Emiliano Arias berkata, penderaan oleh Munoz, 56, itu berlaku sejak 2002 di ibu negara dan bandar Rancagua, di selatan Chile.

Munoz adalah naib canselor dan kemudian dilantik sebagai canselor pentadbiran gereja Santiago sebelum disingkirkan dua bulan lalu selepas mengaku melakukan kesalahan berkenaan pada Januari, beberapa hari sebelum Paus Francis melawat Chile.

Beliau pada awalnya disiasat oleh gereja Chile yang kemudian merujuk kes berkenaan kepada Vatican.

Penderaan terbabit didedahkan barisan pendakwa Chile selepas menemui fail kes gereja itu yang dirampas semasa serbuan pada Jun lalu.

Arias mengesahkan siasatan kes berkenaan mencakupi beberapa cubaan melindungi anggota kanan pertubuhan gereja, termasuk dua biskop Santiago, Francisco Javier Errazuriz dan Ricardo Ezzati.

Ezzati dipetik sebagai berkata, pertubuhan berkenaan sedia memberikan segala kerjasama diperlukan bagi membantu siasatan kes.

Gereja Chile digemparkan dengan skandal pedofilia membabitkan puluhan paderi dan membawa kepada peletakan jawatan lima biskop termasuk empat yang dituduh melindungi perbuatan jijik itu dari diketahui umum.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:08pm
d