global

Sukarelawan dapat penghargaan Thailand

Oleh Agensi

THAILAND memberi penghargaan kepada sukarelawan asing termasuk dua penyelam gua British yang mengambil bahagian dalam misi menyelamat dramatik 13 pemain bola sepak dari gua Tham Luang di Chiang Rai awal bulan ini.

Biro Keluarga Diraja Kementerian Hal Ehwal Luar dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) sedia menganjurkan lawatan bersiar-siar di Chiang Rai dan ibu kota ini bagi mereka yang berhasrat tinggal di Thailand selepas misi itu, kata laporan akhbar The Nation.

Bagi mereka yang mahu kembali ke tanah air, pihak berkuasa Thailand akan menaja perjalanan sehala ke negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

TAT akan memberi mereka keanggotaan ‘Kad Elit Thailand’ bagi membolehkan mereka menikmati beberapa keistimewaan.

Sukarelawan asing, dilaporkan berjumlah lebih 100 orang dan datang dari pelbagai negara, mula beransur keluar dari kawasan itu sejak misi menyelamat secara rasminya selesai dan kumpulan bola sepak itu kini dirawat di hospital.

Ramai berada di tapak pencarian itu selama hampir dua minggu selepas pasukan itu hilang dalam gua 23 Jun lalu.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhum, Menteri Kewangan Arkhom Termpittayapaisith menyertai Menteri Pelancongan dan Sukan, Weerasak Kowsurat untuk menghantar dua pakar penyelam gua, John Volanthen dan Jason Mallison menaiki penerbangan ke London.

Volanthen terkenal kerana kepakarannya dalam selaman gua dan melakukannya secara sukarela, sementara Mallison adalah anggota Kumpulan Penyelam Gua, persatuan amatur penyelam bawah tanah tertua Britain.

Volanthen dan Rick Stanton menjadi terkenal selepas menemui budak lelaki terbabit dalam kawasan bantuan berlumpur digelar Noen Nom Sao 2 Julai lalu, 10 hari selepas mereka dilaporkan hilang.

Menteri Kabinet Thailand memberi mereka sijil penghargaan dan mengucapkan terima kasih secara rasmi atas dedikasi mereka bagi membolehkan misi menyelamat berjaya.

Kedua-duanya memainkan peranan utama dalam merancang dan memetakan operasi bagi mengeluarkan budak lelaki terbabit.

Menteri berkenaan juga menghadiahkan kedua-dua penyelam potret diri mereka dan John Harper, seorang penyelam sukarelawan yang sudah berlepas ke London untuk membuat temu janji doktor. Harper mengawasi keseluruhan operasi menyelamat.

Penyelam asing lain dari sejumlah negara sudah berlepas pulang ke negara mereka semalam termasuk Stanton, Christopher Jewell, John Clayton, Gary Mitchell, Connor Roe, Jim Warny dan Joshua Bratchley.

Sementara lapan sukarelawan daripada Yayasan Keamanan China memutuskan melawat ibu kota ini sebelum pulang ke tanah air.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 6:57pm
d