global

'Termakan' berita palsu

Oleh AFP

New Delhi: Rakaman telefon pintar menunjukkan dua lelaki berlumuran darah merayu tidak dibunuh namun kedua-duanya kemudian ditemui mati, menjadi mangsa terbaru keganasan penduduk akibat khabar angin tular di Facebook dan WhatsApp di India.

Kedua-dua lelaki masih muda dan berpendidikan tinggi itu ialah pemuzik Nilotpal Das, 29, dan rakannya, seorang usahawan Abhijeet Nath, 30, berasal dari Guwahati, ibu negeri Assam.

Dalam kejadian bulan lalu, mereka dipukul sampai mati oleh sekumpulan penduduk kampung bersenjatakan kayu, buluh, parang dan batu ketika mangsa memandu pulang dari kawasan pedalaman berhampiran air terjun popular.

Pada 8 Jun lalu, dua lelaki itu tidak tahu berita palsu penculik kanak-kanak tersebar di media sosial. Facebook dan WhatsApp sudah menjadi modal perbualan di kampung terpencil dan miskin di Karbi Anglong.

Penduduk kampung itu menganggap mesej dalam aplikasi itu adalah berita benar dan lewat hari yang sama, dua lelaki terbabit yang sedang berehat di anak sungai, tiba-tiba dikepung penduduk kampung sehingga mencetuskan perbalahan.

Mereka berlalu pergi dengan pantas dalam keadaan tergesa-gesa, namun penduduk kampung itu memberi amaran kampung jiran sudah menunggu mereka.

“Penduduk kampung ini membuat panggilan telefon, memberitahu penculik kanak-kanak melarikan diri, mereka perlu ditahan,” kata Timbalan Ketua Wilayah Karbi Anglong, Gulshan Daolagupu.

Kumpulan penduduk kampung jiran mengepung kereta mangsa dan yakin berjaya menahan penculik kanak-kanak, mereka melakukan serangan dan memuat naik video pembunuhan itu di Internet.

Disiarkan pada: July 15, 2018 @ 9:00am
d