global

Gaza terus dibedil tentera Zionis

Oleh Muhammad Saufi Hassan

“SAYA mohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan saudara Islam di Gaza berikutan serangan skala besar yang dilancarkan oleh tentera rejim Israel sejak semalam (kelmarin),” kata Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, 31.

Muhammad Nadir, satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza, Palestin berkata, lebih 40 serangan udara dilancarkan tentera Israel ke atas beberapa kawasan mengakibatkan dua remaja maut dan beberapa penduduk cedera.

Menurutnya, serangan itu disifatkan paling buruk selepas peperangan Israel-Hamas pada 2014.

“Serangan tentera rejim Israel menyasarkan kepada kedudukan strategik termasuk membabitkan lokasi penduduk Gaza.

“Dalam serangan semalam (kelmarin), tentera rejim menyasarkan serangan di beberapa kawasan yang didakwa lokasi strategik Hamas, namun hakikatnya ia adalah kawasan penduduk awam.

“Sejak serangan dilancarkan, dua remaja, Amir An-Namrah dan Luai Kuheil masing-masing berusia 15 dan 16 tahun syahid. Ketika serangan, mereka sedang bermain di atas bangunan di Katibah yang terletak berhampiran pusat bandar Gaza.

“Mereka dibom dan diisytiharkan syahid tidak lama selepas tiba di hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi pesanan Facebook, semalam.

Berdasarkan laporan Al-Jazeera, dua remaja Palestin itu maut manakala 30 lagi penduduk Gaza mengalami kecederaan dalam serangan di Katibah.

Laporan itu turut menyatakan bahawa ia adalah serangan skala besar selepas peperangan Israel-Hamas pada 2014 dan serangan terbabit dibimbangi akan mencetuskan tindak balas daripada kumpulan Hamas.

Nadir yang juga Pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia berkata, serangan masih berlaku sehingga petang kelmarin di beberapa lokasi di sekitar Gaza.

“Saya tidak pasti jika ada penduduk Gaza lain yang syahid selain dua remaja berkenaan.

“Saya juga masih menanti makluman daripada rakan-rakan yang berada di wilayah lain di Gaza. Mungkin ada peningkatan jumlah kecederaan atau sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2018 @ 8:00pm
d