global

Gesa wanita lapor serangan seksual

Oleh AFP

PARIS: Ketua Polis Paris, hari ini menggesa wanita melaporkan sebarang kes serangan seksual ketika meraikan kejayaan Perancis menjulang Piala Dunia, selepas puluhan keterangan mangsa disiarkan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Kes berkenaan perlu dibawa ke perhatian polis supaya siasatan boleh dijalankan.

“Kami sudah tentu akan memburu pelaku tanpa gagal jika mereka dikenal pasti,” kata Michael Delpuech, pada radio Europe 1.

Laporan cium secara paksa dan raba mula muncul selepas Perancis menang pada pertandingan akhir menentang Croatia malam Ahad lalu, ketika ratusan ribu peminat membanjiri jalan raya di Paris dan bandar raya lain.

Sementara mangsa lain menceritakan serangan seksual ketika pasukan bola sepak itu berarak di Champs Elysees kelmarin, menggunakan hashtag #MeTooFoot, merujuk kepada pergerakan Me Too susulan dakwaan rogol dan serangan seksual dikenakan terhadap hartawan Hollywood, Harvey Weinstein.

“Saya rasa ada tangan dalam skirt saya ketika gol ketiga,” kata pengguna Twitter yang menggunakan nama Isa.

Mangsa lain tidak memfailkan dakwaan, berkata mereka tidak percaya polis akan menyiasat kerana pelaku segera melarikan diri ke arah orang ramai.

Disiarkan pada: July 18, 2018 @ 7:53pm
d