global

Kilauea 'mengganas'

Oleh Reuters

SATU letusan runtuhan di puncak gunung berapi Kilauea, Hawaii semalam mencetuskan limpahan lahar sehingga memusnahkan struktur kawasan pembangunan perumahan yang dipindahkan, kata pakar geologi dan pertahanan awam.

Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan Pertahanan Awam Daerah Hawaii berkata, letusan akibat runtuhan berperingkat kawah gunung berapi itu bersamaan gempa bumi magnitud 5.3 dan menyebabkan lahar keluar dari rekahan sepanjang 40 kilometer di timur, memusnahkan sekurang-kurangnya sebuah kediaman di Leilani Estates.

Menurut pihak berkuasa Hawaii, peningkatan aliran lahar di Pulau Besar mencetuskan kebimbangan meningkat sepanjang 11 minggu letusan Kilauea yang sudah memusnahkan kira-kira 712 rumah namun, tidak menyebabkan kematian.

Satu letusan besar-besaran Isnin lalu disebabkan batu lebur yang mengalir ke lautan menyebabkan ‘bom lahar’ terkena bumbung bot pelancong, mencederakan 23 orang.

Pakar geologi berkata, letusan itu sebahagiannya mungkin disebabkan sejumlah besar lahar mengalir deras ke Lautan Pasifik.

Menurut USGS, letusan lahar di kawah Kilauea, dinamakan Halemaumau, berlaku setiap 30 hingga 35 jam ketika puncak gunung itu menguncup seperti belon yang kehilangan udara secara perlahan dan takungan lahar mengalir ke kawasan rendah sebelum pecah dari celah serta mengalir ke lautan.

“Letusan dari Halemaumau pada jam 1.28 pagi mengakibatkan limpahan lahar mengalir ke Leilani Estates menyebabkan sebuah lagi kediaman rosak,” kata Pertahanan Awam Hawaii menerusi Facebook.

Berdasarkan data USGS, ribuan penduduk sudah dipindahkan sebaik saja lahar menutupi kawasan seluas 32 meter persegi, meliputi kebun, hutan dan perumahan.

Pulau Besar semakin membesar sekitar 283 hektar, menyamai saiz 400 padang bola sepak, sebaik sahaja lahar masuk ke laut membentuk sebuah pulau kecil, minggu lalu.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 9:01am
d