global

Merokok memang membahayakan!

Oleh AFP

Shanghai: Pihak berkuasa penerbangan China menghukum syarikat penerbangan utama negara itu, Air China, termasuk mengurangkan jumlah penerbangan serta membatalkan lesen penerbangan kru kokpit berikutan kejadian pesawat menjunam turun akibat pembantu juruterbang menghisap vape minggu lalu.

Dalam kejadian itu, pesawat Boeing 737 Air China menjunam mendadak selepas pembantu juruterbang mematikan sistem pendingin udara dalam usahanya menyembunyikan asap rokok elektronik dihisapnya.

Kejadian berlaku ketika penerbangan dari Hong Kong ke Dalian, China, itu menyebabkan topeng oksigen dikeluarkan mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China (CAAC) mengurangkan penerbangan pesawat Boeing 737 syarikat itu sehingga 10 peratus dan mengarahkan pemeriksaan keselamatan menyeluruh selama tiga bulan.

Air China juga didenda 50,000 yuan (RM30,461).

Boeing 737 merangkumi lebih 40 peratus pesawat Air China.

Menurut CAAC, kejadian berlaku apabila pembantu juruterbang yang cuba menghalang asap rokok elektronik tersebar ke kabin penumpang, mematikan pendingin udara.

Ia menyebabkan paras oksigen dalam kabin menurun lalu mengaktifkan sistem amaran kecemasan yang menganggap pesawat terbang terlalu tinggi lalu mengarahkan juruterbang segera menurunkan paras ketinggian.

Pesawat itu turun mendadak sehingga beberapa ribu meter. Pesawat itu membawa 153 penumpang dan sembilan anak kapal namun tiada yang cedera.

Disiarkan pada: July 19, 2018 @ 12:01pm
d