global

Kejamnya ibu!

Oleh Gulf News

DUA bayi kembar diselamatkan Kementerian Buruh dan Pembangunan Sosial Arab Saudi selepas rakaman video mereka ditampar dan dihempas ke lantai oleh ibu sendiri menjadi tular.

Menurut laporan Gulf News semalam, video itu dirakam ibu mangsa dan menunjukkan bayi kembar perempuan menangis ketika didera ibu. Dalam satu lagi video, ibu itu mencekik seorang daripada bayi sambil memberitahunya: "Hari ini saya akan bunuh kamu."

Difahamkan, video itu dimuat naik oleh warga Yaman, Mohanad Al Hashdi yang mengenali keluarga bapa kepada kembar terbabit.

Al Hashdi berkata, video itu dirakam wanita Somalia yang tinggal di Arab Saudi dan kembar itu berusia enam bulan.

Ibu mangsa pernah berkahwin dengan lelaki Yaman dan tinggal di Arab Saudi. Namun mereka kini bercerai dan bekas suaminya dipercayai tidak membayar nafkah.

Ibu mangsa merakam video penderaan itu dan menghantarnya ke bekas bapa mentuanya di Yaman supaya dia dapat mendorong anaknya memberi duit.

Al Hashdi memuat naik video itu dan merayu pertolongan penduduk Arab Saudi untuk menyelamatkan kedua-dua bayi kerana datuk mereka di Yaman tidak dapat pergi ke Arab Saudi.

Beberapa jam selepas video itu dimuat naik, jurucakap Kementerian, Khalid Aba Khai berkata, bayi kembar itu sudah ditemui di Jeddah dan diselamatkan daripada ibu mereka.

Mangsa diberi rawatan di hospital dan dilepaskan kepada ahli keluarga bapa.

"Suami isteri terbabit sudah bercerai dan kes ini jelas kes keganasan rumahtangga. Bayi itu tidak akan kembali kepada ibu mereka dan kami meneliti jika ahli keluarga bapa dapat membela bayi ini," katanya kepada Alekhbariya TV.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 12:08am
d