global

Son Tinh membadai Vietnam

Oleh Reuters

VIETNAM memberi amaran insiden banjir dan tanah runtuh dicetuskan akibat hujan lebat selepas ribut tropika Son Tinh membadai kawasan pantai di utara, walaupun tiada kematian dilaporkan semalam.

Kawasan laut yang panjang menjadikan Vietnam terdedah kepada serangan ribut dan banjir dengan 389 maut tahun lalu akibat bencana semula jadi seperti banjir dan tanah runtuh, kata Pejabat Statistik Awam.

Son Tinh melemah kepada ribut tropika bertekanan rendah ketika ia sampai ke Vietnam lewat kelmarin, mengelak ketakutan dan kerosakan segera, namun menambah kebimbangan insiden banjir.

“Hujan lebat diramalkan berterusan di wilayah utara dan tengah sekali gus menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh di wilayah Hoa Binh, Son La, Lai Chau dan Lang Son,” kata peramal kaji cuaca.

Negara Asia Tenggara itu mengarahkan kapal kembali semula ke pelabuhan dan menyiapkan pelan pemindahan sebelum ribut membadai, yang membawa hujan di sebahagian Filipina Selasa lalu.

Hujan lebat sehingga 350 milimeter membanjiri sesetengah wilayah tepi pantai, menjejaskan hampir 64,000 hektar sawah padi dan 3,200 hektar kawasan tanaman semalam, kata agensi pengurusan bencana kerajaan.

Banjir turut mengehadkan akses ke laluan di kebanyakan kawasan di wilayah Nghe An, sejauh 300 kilometer di selatan bandar ini, kata media tempatan.

Hujan lebat bulan lalu mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan 24 orang di wilayah utara terpencil pergunungan di Lai Chau dan Ha Giang.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 9:29am
d