global

Anak Krakatau muntah debu, lahar

Oleh AFP

SEBUAH gunung berapi lagenda Indonesia dikenali sebagai ‘anak Krakatau’ meletus semalam, mengeluarkan kepulan debu tinggi ke udara ketika lahar cair menuruni puncaknya.

Anak Krakatau, pulau gunung berapi kecil yang muncul dari lautan setengah kurun selepas letusan maut Krakatau pada 1883, kini aktif kembali sejak beberapa minggu lalu, mengeluarkan batuan api dan debu dari kawahnya.

Tiada siapa hidup di Krakatau, yang membentuk kepulauan kecil di Selat Sunda antara pulau Jawa dan Sumatera, namun puncaknya adalah tarikan popular pelancong.

Agensi geologi Indonesia tidak menaikkan tahap amaran untuk gunung berapi itu, bagaimanapun zon larangan satu kilometer diwujudkan di sekeliling puncaknya.

Apabila Krakatau meletus pada kurun ke-19, letusan debu, batu dan asap menjulang lebih 20 kilometer ke udara, menyebabkan rantau itu diselubungi kegelapan dan mencetuskan tsunami besar yang dirasai di seluruh dunia. Bencana itu mengorbankan lebih 36,000 orang.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 10:34am
d