global

8 maut 'bot itik' karam

Oleh Reuters

SEKURANG-kurangnya lapan penumpang lemas apabila sebuah ‘bot itik’ karam dan tenggelam dalam cuaca buruk di sebuah tasik di Missouri bersama 31 orang di dalamnya.

Polis berkata semalam, penyelam kini melakukan pencarian untuk mangsa yang masih hidup.

Sherif daerah Stone, Doug Rader memberitahu media, tujuh orang dibawa ke hospital susulan insiden kenderaan amfibia 'Ride the Ducks’ di Tasik Table Rock berhampiran Branson di sini.

“Kami mengesahkan lapan mangsa maut. Beberapa orang lagi dikhuatiri hilang, jadi ia adalah malam yang panjang untuk kru menyelamat,” kata Rader dalam taklimat media disiarkan langsung di televisyen.

Walaupun identiti mangsa yang maut belum didedahkan, Rader mengesahkan, ada kanak-kanak menjadi penumpang ketika kejadian.

Kru kecemasan bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas ribut membadai kawasan itu kira-kira 7 petang, kata jabatan bomba di Twitter.

Ride The Ducks, sebuah syarikat di Branson mengendalikan ‘bot itik’ di kawasan itu tidak menjawab panggilan untuk mengulas.

‘Bot itik’ digunakan untuk lawatan bersiar-siar pelancong di seluruh dunia dan membabitkan beberapa nahas membawa maut sejak dua dekad lalu.

Syarikat yang membina kenderaan itu, Ride the Ducks International LLC, pada 2016 bersetuju membayar denda AS$1 juta (RM4.07 juta) selepas sebuah kenderaan itu bertembung dengan sebuah bas di Seattle, mengorbankan lima pelajar antarabangsa.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 11:57am
d