global

Filipina arah usir biarawati Australia

Oleh AFP

MANILA: Filipina semalam mengeluarkan arahan pengusiran baharu kepada seorang biarawati warga emas dari Australia yang menaikkan kemarahan Presiden Rodrigo Duterte, ketika peguamnya berikrar menyekat penghantaran pulangnya.

Patricia Fox, 71, dituduh secara tidak sah terbabit dalam aktiviti politik ketika kerajaan melakukan tindakan keras terhadap pengkritik asing di tanah air.

“Kami mendapati, Fox Patricia Anne, seorang warga Australia, melanggar had dan syarat (undang-undang imigresen Filipina) dan mengarahkan dia dihantar pulang ke Australia,” kata arahan kerajaan ditunjukkan kepada AFP oleh peguamnya, Jobert Pahilga.

Duterte menyokong penghantaran pulang Fox. Beliau mengarahkan biarawati itu ditahan April lalu dan sebelum ini berkata, mahukan wanita terbabit disiasat kerana ‘tindakan tanpa kawalan.’

Fox, yang menetap di Filipina sejak 1990-an, menaikkan kemarahan Duterte selepas menyertai misi mencari fakta April lalu bagi menyiasat dakwaan penderaan terhadap petani, termasuk membunuh dan pengusiran oleh tentera yang menentang gerila.

Bulan lalu, pengusirannya dihentikan apabila Setiausaha Kehakiman Menardo Guevarra berkata, pihak berkuasa imigresen menggunakan prosedur salah mengusirnya.

Keputusan itu memberi Fox penangguhan hukuman namun Guevarra juga mengarahkan pihak berkuasa imigresen mendengar kes berkaitan pembatalan visa bersama prosiding pengusiran tertangguh.

Arahan baharu dikeluarkan semalam, mungkin melarangnya daripada masuk semula ke Filipina.

Pahilga berkata, mereka bercadang membuat rayuan beberapa hari lagi.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 12:19pm
d