global

Bekas Presiden Korea Selatan dihukum penjara

Oleh Reuters

Seoul: Mahkamah Korea Selatan semalam, menjatuhi hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas Presiden Park Geun-hye selepas didapati bersalah menyebabkan kehilangan dana kerajaan dan campur tangan dalam pilihan raya Parlimen pada 2016.

Pada April lalu, mahkamah rendah menjatuhi hukuman penjara 24 tahun ke atas Geun-hye atas pelbagai kesalahan, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan melakukan paksaan.

“Kesemua hukuman dijalankan serentak,” kata jurucakap mahkamah.

Geun-hye adalah pemimpin pertama Korea Selatan yang dipaksa melepaskan jawatannya atas arahan Mahkamah Perlembagaan, susulan pendedahan pembabitannya dalam skandal rasuah antara pemimpin politik dan konglomerat utama negara itu atau Chaebol.

Namun, Geun-hye, 66, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan tidak hadir di mahkamah ketika hukuman ke atasnya dibacakan.

Mahkamah Daerah Tengah Seoul mendapati Geun-hye mengadakan pakatan sulit dengan beberapa bekas pembantunya, yang menyebabkan kehilangan kira-kira AS$26.49 juta (RM108.670 juta) dana kerajaan yang disalurkan ke Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS).

Wang berkenaan adalah dari ‘dana aktiviti khas’ yang diperuntukkan kepada agensi risikan itu.

NIS menerima peruntukan sebanyak AS$3.52 juta (RM14.31 juta) setiap tahun tetapi ia dikecualikan daripada audit atau laporan Parlimen.

Bulan lalu, dua daripada tiga bekas pengarah NIS yang terbabit dalam penyelewengan itu sudah dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun, manakala seorang lagi pengarah dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

Disiarkan pada: July 21, 2018 @ 3:59am
d