global

India hapuskan cukai tuala wanita

Oleh Reuters

NEW DELHI : Kerajaan India akhirnya menghapuskan cukai penuh kontroversi ke atas tuala wanita semalam, satu tindakan yang disifatkan aktivis akan membantu lebih ramai pelajar perempuan datang ke sekolah ketika sedang dalam haid.

Aktivis berkata, penghapusan cukai itu akan menyelesaikan antara masalah terbesar membabitkan pendidikan pelajar perempuan yang lazimnya terpaksa tinggal di rumah kerana kekurangan produk pembersih, selain berdepan dengan stigma serta kekurangan tandas di sekolah.

Haid adalah antara penyebab utama keciciran pendidikan di kalangan remaja perempuan dengan anggaran empat daripada setiap lima individu dari golongan itu serta wanita dewasa tidak memiliki tuala wanita.

“Saya percaya golongan ibu dan anak perempuan mereka akan berasa amat gembira apabila mengetahui tuala wanita kini 100 peratus dikecualikan dari cukai,” kata pemangku menteri kewangan India, Piyush Goyal kepada wartawan dalam satu sidang media di ibu negara.

Tuala wanita dikenakan cukai sebanyak 12 peratus di bawah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) India yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Keputusan itu mencetuskan bantahan, petisyen dan kes mahkamah kerana mendatangkan persoalan, mengapa kerajaan meletakkan tuala wanita sebagai barangan mewah sedangkan ia adalah satu keperluan, sama seperti kondom yang dikecualikan daripada cukai.

Tahun lalu, peguam Sushmita Dev melancarkan petisyen menuntut penghapusan sepenuhnya atau penurunan cukai ke atas tuala wanita dengan berkata, kira-kira 70 peratus wanita India tidak mampu membeli barangan itu.

Petisyen dalam talian itu berjaya memungut lebih daripada 400,000 tandatangan.

Disiarkan pada: July 22, 2018 @ 8:02am
d