global

Pemimpin militan Daesh Mesir maut

Oleh Reuters

KAHERAH: Militan Daesh mendakwa pemimpin yang mengetuai kumpulan itu di Semenanjung Sinai, Mesir terbunuh, namun punca kematian tidak didedahkan.

Berita kematian, Abu Jaafar Al-Maqdesi diumumkan menerusi sekeping poster bertajuk ‘perjalanan seorang syuhada’ yang menampilkan gambar seorang lelaki berjambang sedang tersenyum sambil memakai kot dan topi.

“Abu Jaafar Al-Maqdesi, moga tuhan merahmati beliau,” kata mesej ringkas yang dimuat naik rangkaian telegram kumpulan itu tanpa mendedahkan maklumat terperinci lokasi, bila dan bagaimana beliau dibunuh.

Sementara itu, sumber keselamatan Mesir mengesahkan lelaki terbabit adalah ketua militan Daesh di Sheikh Zuweid, bandar Mediterranean, yang terletak berhampiran sempadan Semenanjung Gaza.

Sejak Februari lalu, ratusan terkorban selepas tentera Mesir yang disokong pasukan keselamatan mengadakan operasi besar-besaran, terhadap pemberontak yang bertanggungjawab terhadap serangan yang menyasar anggota tentera dan orang awam di Sinai.

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 9:24am
d