global

Gali kubur cari mayat mangsa dera

Oleh AFP

POLIS di timur India terpaksa menggali semula kawasan perkuburan di rumah jagaan kanak-kanak perempuan susulan dakwaan lebih daripada 40 kanak-kanak perempuan diserang secara seksual dan seorang dibunuh di kawasan itu.

Polis mendapatkan arahan mahkamah untuk menggali kubur di rumah jagaan yang menempatkan kanak-kanak perempuan miskin di bandar Muzaffarpur di negeri Bihar selepas seorang daripada mangsa berkata, melihat seorang kakitangan memukul kanak-kanak sehingga mati.

“Kami menggeledah kawasan premis untuk mencari beberapa mayat,” kata Ketua Inspektor Sunil Kumar kepada AFP.

Kumar berkata, pakar forensik dan polis memantau kerja menggali menggunakan jentera jengkaut di kawasan yang dikenal pasti saksi.

Skandal itu menjadi perhatian pada Mei lalu selepas institut sosial yang berpangkalan di Mumbai mendedahkan laporan butiran siri penderaan dan berlaku eksploitasi di rumah jagaan itu.

Laporan itu mendedahkan wawancara dengan mangsa yang menceritakan layanan buruk penjaga mereka.

Pemeriksaan perubatan dijalankan mendapati 29 daripada mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun pernah dirogol. Laporan mangsa yang lain masih lagi ditunggu.

Menurut beberapa mangsa mereka dipaksa tidur dalam keadaan bogel bersama pengetua dan didera dalam tempoh beberapa bulan.

Ketua polis Muzaffarpur, Harpreet Singh berkata 10 orang termasuk kakitangan wanita dan pegawai kebajikan daerah ditahan untuk disoal siasat.

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 1:16am
d