global

Budak mangsa asid

Oleh Agensi

London:Seorang budak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas wajahnya disimbah asid ketika keluar membeli-belah bersama ibunya dalam serangan dipercayai sengaja menyasarkannya di bandar dianggap antara yang paling selamat di Britain.

Menurut Daily Mail, kanak-kanak yang disimbah ketika duduk dalam kereta sorongnya di luar kedai Home Bargain di Worcester, cedera parah akibat lecuran pada muka dan tangannya.

Dia dibenarkan keluar dari hospital pada petang sama, namun kesan jangka panjang kecederaannya tidak dapat ditentukan.

Selepas kejadian itu, wanita berkenaan didengar menjerit: “Apa salah anak saya? Apa yang mereka buat padanya?”

Susulan itu, seorang lelaki ditahan di Wolverhampton pada hari kejadian, manakala tiga pemuda berusia 22, 25 dan 26 tahun ditahan lebih 200 kilometer dari situ di ibu negara, London selepas gerakan memburu semalaman oleh polis.

Saksi yang berada di dalam kedai ketika kejadian berkata, dia pada mulanya mendengar orang menjerit dan memekik tetapi tiba-tiba keadaan diam.

“Tiba-tiba seorang wanita berlari keluar sambil menjerit bayinya cedera dan memerlukan bantuan. Saya kemudian melihatnya duduk di luar kedai itu menjerit ‘anakku, anakku apa yang mereka lakukan kepada anakku?’” katanya.

Ketua Superintendan Polis Mercia Barat, Mark Travis berkata, pihaknya menyiasat kejadian itu sebagai sesuatu yang disengajakan terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Buat masa ini kami masih cuba memahami motifnya. Tiga lelaki berkenaan dilihat dalam kamera keselamatan, berada berhampiran kanak-kanak itu ketika kejadian dan meninggalkan premis sejurus itu,” katanya.

Sementara itu, ketua Majlis Perbandaran Worcester, Marc Bayliss menyifatkan kejadian itu sebagai ‘terlalu keji’ dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampiil membantu polis. - Agensi

Disiarkan pada: July 24, 2018 @ 11:47am
d