global

Putera Harry, Elton lancar kempen cegah HIV

Oleh Reuters

AMSTERDAM: Putera Harry bakal menyertai bintang pop, Elton John melancarkan kempen meningkatkan kesedaran HIV dalam kalangan lelaki, mengingatkan bahawa ia adalah ‘kepuasan berbahaya’ berhubung virus itu mengancam usaha untuk menghapusnya.

Projek bernilai bilion dolar ‘MenStar’ mensasarkan lelaki yang hidup dengan atau berisiko HIV di kawasan sub Sahara Afrika, yang dilanda AIDS sejak 1980-an.

“Gabungan ‘MenStar’ dengan bijak mengatasi punca masalah ini - kekurangan kesedaran mengenai pencegahan HIV dalam kalangan lelaki muda yang sukar dijangkau,” kata Harry pada Persidangan AIDS Antarabangsa ke-22 di Amsterdam.

Bercakap ketika pelancaran, yang turut menampilkan pelakon Afrika Selatan, Charlize Theron dan Ndaba Mandela, anak kepada mendiang Presiden Nelson Mandela, Elton John berkata: “Jika kita mahu menamatkan AIDS selama-lamanya, kita mesti jadikan lelaki sebahagian daripada penyelesaian.”

Kira-kira 36.7 juta orang di seluruh dunia menghidap HIV, menurut angka yang dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) badan HIV/AIDS.

Hanya sedikit daripada separuh daripada lelaki menghidap HIV menerima rawatan berbanding dengan 60 peratus wanita.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 8:37am
d