global

Israel tembak jatuh jet Syria

Oleh Agensi

Baitulmaqdis: Israel menembak jatuh pesawat pejuang Syria semalam, selepas mendakwa pesawat itu menceroboh ruang udara Bukit Golan yang ditawan ketika Perang Enam Hari pada 1967.

Kejadian itu berlaku ketika tentera rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad melakukan operasi memburu kumpulan pemberontak yang didakwa kumpulan Negara Islam (IS) atau Daesh di kawasan berhampiran Bukit Golan.

AFP melaporkan, pesawat Syria itu, sama ada Sukhoi 22 atau 24, terhempas dalam kawasan Syria namun tidak dapat dipastikan nasib juruterbangnya.

Menurut kenyataan tentera Israel, pesawat berkenaan didakwa masuk sejauh kira-kira dua kilometer dalam ruang udara Bukit Golan apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Patriot Israel.

Laporan menyatakan dua peluru berpandu jenis itu dilancarkan di Bukit Golan.

Ia adalah kejadian pertama Israel menembak jatuh pesawat Syria sejak 2014.

Menurut tentera Israel, pesawat itu berpangkalan di pangkalan udara Syria T4 yang diserang Israel awal tahun ini.

Israel menawan 1,200 kilometer persegi Bukit Golan dari Syria ketika perang 1967 dan mendudukinya hingga sekarang.

Sementara itu, Al-Arabiya melaporkan juruterbang pesawat Syria berkenaan terbunuh dan dikenali sebagai Kolonel Omran Mere.

Juruterbang itu amat kenali dalam kumpulan pemberontak Syria sejak 2013 kerana berada dalam senarai 21 juruterbang rejim Bashar yang terbabit dalam serangan udara di bandar al-Qusayr, wilayah Homs.

Al-Qusayr sebelum ini ialah kubu kuat pemberontak Syria.

Kolonel Omran serta serta juruterbang lain juga dikenal pasti pemberontak bertanggungjawab melakukan serangan senjata kimia ketika mengebom bandar Khan Sheikhun di Idlib pada 2017.

Kerajaan Syria yang mengakui pesawatnya ditembak jatuh oleh Israel, tidak menyebut mengenai pembantu juruterbang, sama ada turut terbunuh atau terselamat.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 1:00pm
d