global

Imran Khan hampir pasti PM Pakistan

Oleh Reuters

ISLAMABAD: Bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan yang kini menjadi ahli politik semakin hampir untuk berkuasa semalam selepas pilihan raya umum yang dicemari dengan kelewatan kiraan undi dan tuduhan berlakunya penipuan.

Selepas 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi dikira, parti Tehreek-i-Insaf (PTI) pimpinan Imran mendahului parti lain dengan jumlah yang besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan mengumumkan PTI mendahului di 113 daripada 272 kawasan Dewan Nasional yang dipertandingkan.

Parti Liga Muslim-Nawaz Pakistan (PML-N) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif mendahului di 66 kawasan pengundian, manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang diketuai oleh anak bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto menguasai 39 kawasan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Babar Yaqoob, berkata, pengumuman keputusan akhir tertangguh akibat masalah teknikal.

“Tiada konspirasi atau tekanan untuk menangguhkan pengumuman keputusan pilihan raya.

“Penangguhan ini disebabkan oleh masalah sistem penghantaran keputusan,” kata Babar kepada wartawan.

Keputusan itu dianggap sebagai kemenangan besar kepada Imran yang berjuang menentang rasuah walaupun karier politiknya pada mulanya dilihat kurang menyerlah.

Pasaran saham melonjak hampir 2 peratus pada awal dagangan semalam kerana Imran dilihat mampu menubuhkan pakatan kerajaan yang stabil.

Pakistan berdepan masalah ekonomi meruncing dan kemungkinan memerlukan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa walaupun PTI tidak menolak untuk meminta pinjaman daripada China.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 9:10am
d