global

Kesiannya dia... [METROTV]

Oleh AFP

BAYI lelaki ketakutan dan kelaparan selepas berhari-hari tidak makan susulan empangan pecah di Laos diselamatkan pasukan Thailand yang baru terbabit dalam usaha menyelamat remaja terperangkap dalam gua.

Video tular menunjukkan mangsa cilik empangan runtuh di Appateu, Laos itu didukung dengan berhati-hati oleh penyelamat yang meredah banjir dan lumpur paras pinggang.

Rakaman sukarelawan Thailand menyelamatkan 14 orang termasuk bayi itu tular selepas disiarkan, hari ini manakala usaha menyelamat yang kini disertai negara luar semakin mendesak.

Penyelamat, Kengkard Bongkawong berkata: “Bayi itu baru berusia empat bulan. Dia tidak demam panas namun menangis mungkin kerana kesejukan.

“Dia nampak ketakutan. Sebenarnya mereka semua masih ketakutan akibat air yang deras,” katanya.

Video itu dilihat hampir setengah juta kali berjam-jam selepas dimuat naik, hari ini.

Mangsa terselamat terkandas akibat banjir selepas lari ke kawasan berbukit pada Isnin lalu selepas empangan Xe-Namnoy pecah akibat hujan lebat, mengakibatkan banjir yang memusnahkan beberapa kampung.

Pasukan Thai yang meranduk air deras sejauh beberapa kilometer untuk menyelamatkan mangsa, baru terbabit dalam usaha menyelamatkan pasukan bola sepak remaja yang terperangkap dalam gua di utara negara mereka, baru-baru ini.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 6:49pm
d