global

91 maut kebakaran di Greece

Oleh AFP

ATHENS: Pasukan bomba Greece berkata sekurang-kurangnya 91 orang maut dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa kawasan di sekitar destinasi pantai popular di sini selepas menemui tiga lagi mayat.

“Sementara itu, 25 lagi masih hilang,” kata jurucakap Stavroula Malliri yang buat pertama kalinya memberikan angka yang tepat selepas dikritik hebat berikutan isu itu.

Jurucakap perlindungan awam, Spyros Georgiou memberitahu AFP, berkemungkinan segelintir atau semua mangsa yang dilaporkan hilang itu adalah sebahagian daripada 28 mayat yang sedang dibedah siasat ahli patologi forensik dan masih belum dikenal pasti.

Kanak-kanak turut menjadi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan kembar berusia sembilan tahun, bayi berusia enam bulan, adik beradik lelaki dan perempuan berumur 11 dan 13 tahun dan seorang lagi juga berusia 13 tahun.

Setakat ini empat korban warga asing dikenal pasti termasuk seorang lelaki dari Ireland yang sedang berbulan madu, seorang wanita Poland dan anaknya, dan seorang lelaki Belgium.

Kecaman terhadap cara pihak berkuasa mengendalikan krisis ini semakin memuncak semalam apabila pembangkang berhaluan kanan dan tengah menuduh kerajaan pada awalnya cuba menyembunyikan angka korban sebenar bencana itu.

Perkhidmatan bomba semalam terus meneliti punca sebenar kebakaran hutan, dengan pemerintah mengesyaki ia berunsur jenayah.

Akhbar harian Kathimerini berkata laporan awal menunjukkan wujud kecuaian berunsur jenayah apabila ada penduduk didakwa menyalakan unggun api menggunakan daun dan dahan kayu.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:55am
d