global

Halau empat juta?

Oleh AFP

Guwahati: India membatalkan kerakyatan empat juta penduduk Assam yang mencetuskan kebimbangan kemungkinan pengusiran beramai-ramai penduduk Islam berbahasa Benggali.

Draf Daftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang dipamerkan semalam, hanya mengandungi penduduk yang berjaya membuktikan mereka tinggal di Assam sebelum Mac 1971.

Pengkritik menganggap tindakan terbaru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi bagi memastikan penduduk Hindu kekal majoriti dengan menghalau minoriti.

Kerajaan Modi yang dikuasai parti kebangsaan Hindu menyatakan langkah itu dilakukan bagi membasmi semua pendatang haram, namun sejak kerajaan itu berkuasa, keganasan terhadap penduduk Islam di India meningkat.

Ketua pendaftar India, Shailesh berkata, lebih 30 juta membuat permohonan, namun lebih empat juta orang tidak dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Menurutnya, mereka boleh membuat rayuan mulai 30 Ogos dan senarai NRC berkenaan akan dimuktamadkan sebelum Disember depan.

Ratusan ribu penduduk Bangladesh melarikan diri ke India ketika perang kemerdekaan Bangladesh daripada Pakistan pada 1971. Kebanyakannya menetap di Assam yang berkongsi ratusan kilometer sempadan dengan Bangladesh.

Pemerhati mengkritik langkah itu yang menyamakannya dengan tindakan Myanmar menghapuskan hak serta perlindungan terhadap penduduk Rohingya di negara itu pada 1982.

Assam, negeri berpenduduk 33 juta orang yang kaya dengan ladang teh, sering tercetus keganasan kaum dan agama.

Dalam kejadian terburuk pada 1983, kira-kira 2,000 penduduk yang dianggap pendatang, sebahagian besarnya beragama Islam dan ramai daripadanya adalah kanak-kanak, dibunuh dalam masa sehari di Nellie.

Pertubuhan hak asasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Avaaz, menyatakan tiada badan khas disediakan untuk membantu mereka yang tiada dalam senarai membuat rayuan dan membentangkan kes masing-masing.

“Penduduk Islam akan menghadapi proses rayuan yang sukar dan tidak adil tanpa hak menggunakan peguam. Jika kalah rayuan, bermakna mereka akan dihalau,” kata Pengarah Eksekutif Avaaz, Ricken Patel.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 1:00pm
d