global

Kangaroo tertekan lari kurungan

Oleh Reuters

SEEKOR kangaroo yang tertekan melompat melepasi tembok pusat perlindungan setinggi 2.2 meter semalam dan melarikan diri ke dalam hutan selepas diselamatkan dari rumah yang dirempuhnya dua hari sebelum itu.

Penyelamat menamakan kangaroo itu sebagai Norman Bates, sempena pembunuh dalam filem thriller Alfred Hitchcock, ‘Psycho’, apabila mereka mengeluarkan ia dari rumah Ahad lalu, yang dirempuhnya menerusi tingkap dan menyebabkan darah terpercik ke dinding.

“Percikan darah ada merata-rata. Ia kelihatan seperti lokasi ‘Psycho’,” kata pengendali pusat perlindungan Five Freedoms Animal Rescue, Manfred Zabinskas.

Beliau juga dipanggil polis untuk mendapatkan semula kangaroo yang melarikan diri itu.

Norman diletakkan dalam kurungan besar dengan kangaroo lain tetapi cuba mencari jalan keluar selepas dua hari.

“Kami tidak pernah melihat kangaroo sangat terdesak untuk keluar seperti Norman.

“Ia tidak mencecah bahagian atas setinggi dua meter. Ia melompat agak tinggi,” kata Zabinskas.

Kangaroo itu tinggal di tempat terbuka berhampiran perumahan ketika ditemui di kawasan perindustrian di pinggir Melbourne dan sesat serta panik apabila merempuh rumah Ahad lalu.

“Sekurang-kurangnya ia kini berada di hutan, jauh daripada kereta, trak dan manusia,” kata sukarelawan Helen Round di media sosial.

Australia memiliki 45 juta kangaroo dan bukan perkara luar biasa melihat haiwan itu berkeliaran di bandar raya seperti Canberra yang dikelilingi hutan.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 9:18am
d