global

Indonesia haramkan JAD

Oleh AFP

Jakarta: Mahkamah Indonesia semalam, mengharamkan kumpulan ekstremis tempatan dikenali sebagai Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan bom, termasuk di Surabaya tahun ini.

Mahkamah juga memberi kuasa lebih besar pada pihak berkuasa untuk mendakwa serta membekukan sebarang pembiayaan membabitkan pertubuhan itu.

Menurut pihak berkuasa, JAD yang menyokong gerakan militan Daish didakwa terbabit dalam serangan maut pada 2016 di Jakarta dan mengejutkan negara itu dengan serangan bom di Surabaya, pada Mei lalu.

Dalam serangan itu, dua keluarga termasuk kanak-kanak perempuan berumur sembilan dan 12 tahun meletupkan diri di gereja dan balai polis hingga meragut 13 nyawa.

“Kami dengan ini mengisytiharkan pertubuhan JAD diharamkan,” kata Hakim Aris Bawono Langgeng di mahkamah daerah Selatan Jakarta.

Indonesia sebelum ini hanya mengharamkan satu pertubuhan kumpulan radikal Jemaah Islamiyah (JI) pada 2008 selepas didapati bersalah dalam beberapa pertuduhan keganasan, termasuk pengeboman di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa.

Peguam pertubuhan itu, Asludin Hatjani berkata, pihaknya tidak akan membuat rayuan, namun menurutnya pengharaman itu membolehkan polis mengambil tindakan, termasuk menahan ahli yang tidak terbabit dalam jenayah.

JAD yang ditubuhkan pada 2015 menggabungkan lebih 20 pertubuhan yang pernah menyatakan kesetiaan kepada pemimpin Daish, Abu Bakr al-Baghdadi.

Pemimpin JAD, Aman Abdurrahman, dijatuhkan hukuman mati bulan lalu, selepas didapati bersalah mengarahkan serangan bom di Jakarta pada 14 Januari 2016 menyebabkan empat penyerang terbunuh dan empat orang awam maut.

Ketua operasi JAD, Zainal Anshori, dipenjara tujuh tahun pada 2017 kerana membekalkan senjata api dari Filipina ke Indonesia.

Disiarkan pada: August 1, 2018 @ 11:54am
d