global

Huawei yakin atasi Samsung tahun depan

AFP

Shanghai: Pengeluar telefon pintar terkemuka China, Huawei, bersedia menggantikan Samsung sebagai pengeluar utama dunia hujung tahun depan.

Data industri yang dikeluarkan minggu ini, menunjukkan Huawei mengatasi Apple dari segi jualan telefon pintar untuk menduduki tangga kedua walaupun produknya diharamkan di Amerika Syarikat.

Ketua bahagian pelanggan Huawei, Richard Yu, menyatakan keyakinan itu selepas pengumuman keputusan perniagaan bagi pertengahan tahun 2018 yang menyatakan Huawei menjual 95 juta telefon pintar, peningkatan 30 peratus.

“Tidak boleh dipersoalkan lagi kami bakal menjadi pengeluar kedua dunia tahun depan.

“Namun, pada suku keempat, berkemungkinan besar kami akan menjadi nombor satu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Shenzhen, selatan China iaitu ibu pejabat Huawei.

Menurut data International Data Corporation (IDC), Huawei mengatasi Apple sebagai pengeluar kedua dunia ketika suku kedua tahun ini.

Samsung, syarikat Korea Selatan kekal sebagai pengeluar utama bagi April hingga Jun 2018 dengan jualan 71.5 juta unit atau 20.9 peratus daripada keseluruhan pasaran.

Huawei menjual 54.2 juta unit, menguasai 15.8 peratus pasaran, manakala Apple menjual 41.3 juta iPhones membolehkannya menguasai 12.1 peratus pasaran.

Ini adalah kali pertama sejak 2010, Apple tidak, berada di dua tangga teratas.

Menurut IDC, 342 juta telefon pintar dijual di seluruh dunia pada suku kedua, menurun 1.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2017.

Kerajaan Amerika melarang jualan produk Huawei, terutama telefon pintar dengan alasan syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan China. Huawei bagaimanapun, menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, Apple yang turut menghasilkan iPod dan iPad menjadi syarikat swasta pertama yang nilai pasarannya melepasi AS$1 trilion (RM4.08 trilion).

Disiarkan pada: August 4, 2018 @ 3:48am
d