global

Pemuda kudung jadi tukang gunting rambut

Oleh Agensi

Buenos Aires: Seorang pemuda yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan membuktikan kecacatan itu bukan halangan untuk berjaya apabila menjadi tukang gunting terkenal di bandar ini.

Gabriel Heredia, 20, yang mengusahakan kedai gunting rambut mendapat permintaan memberangsangkan daripada orang ramai apabila pelanggan terpaksa beratur untuk mendapatkan perkhidmatannya.

Oddity Central melaporkan, Heredia mula bekerja sebagai tukang gunting seawal usia 14 tahun lagi dan mempelajari segala teknik termasuk melakukan trim pada jambang.

Heredia pada mulanya menganggap ia sekadar hobi, namun menyedari ia adalah pekerjaan yang ingin dilakukannya.

“Saya belajar menghidang air sendiri dan saya kini mahir menunggang basikal, motosikal malah, memandu kereta,” katanya.

Kemudian, keluarganya membantunya membuka kedai gunting dan bertemu sebuah organisasi yang menghubungkan tukang gunting untuk melakukan kebajikan serta mengajar kemahiran itu kepada mereka yang berminat.

Menurut Heredia, dia bukan hanya sekadar menggunting rambut tetapi juga ingin mendekati masyarakat setempat.

“Apa yang saya suka mengenai kerja ini ialah orang ramai berasa selesa dan bergaya dengan cara guntingan sekali gus membuatkan saya gembira.

“Saya mahu kedai ini menjadi yang terbaik dan bercita-cita membuka satu lagi kedai gunting rambut,” katanya.

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 3:30am
d