global

Syukur, umur masih panjang...

Oleh AFP

BINTANG pop, Demi Lovato semalam meluahkan kesyukuran selepas terselamat dari maut akibat pengambilan dadah berlebihan hampir dua minggu lalu.

Dalam catatan kepada lebih 70 juta pengikut di Instagram, Lovato memberikan beberapa maklumat mengenai rawatan dijalaninya di hospital pada 24 Julai lalu tetapi penyanyi itu selama ini sememangnya bersikap terbuka mengenai keadaannya yang bergelut dengan masalah penagihan dadah.

“Apa yang saya pelajari ialah penyakit bukan sesuatu yang hilang bersama waktu,” kata bintang berusia 25 tahun itu.

“Ia adalah sesuatu yang perlu saya atasi secara berterusan dan masih belum berjaya sepenuhnya. “Saya memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana menyelamatkan saya,” katanya lagi sambil menambah, dia sentiasa terhutang budi atas sokongan diberikan peminat, selain memberi kredit kepada kakitangan Pusat Perubatan Cedars-Sinai kerana menyelamatkan nyawanya.

Lovato membatalkan persembahan di Atlantic City yang dirancang dua hari sebelum dimasukkan ke hospital dan turut membayangkan bahawa dia akan berehat seketika dari dunia seni.

“Saya memerlukan masa untuk kembali pulih dan menumpukan kepada usaha mengubati ketagihan ini,” katanya.

Lovato sebelum ini sering bercakap mengenai usahanya memerangi masalah kemurungan, masalah pemakanan dan ketagihan dadah, sama sekali berlawanan dengan pesona watak pujaan ramai kanak-kanak dalam siri televisyen ‘Barney and Friends’.

Sebuah dokumentari pada 2012, ‘Demi Lovato: Stay Strong’ memaparkan bagaimana penyanyi itu sering menyedut kokain beberapa kali sehari sebelum menyerah diri di pusat pemulihan dan membina semula kariernya.

Disiarkan pada: August 6, 2018 @ 8:11am
d