global

'Mendocino Complex' pemusnah California

Oleh AFP

DUA kebakaran hutan serentak di utara California yang pantas merebak mencatat sejarah sebagai malapetaka terbesar negeri itu, kata pihak berkuasa semalam.

Kebakaran digelar ‘Mendocino Complex’ itu memusnahkan 114,850 hektar kawasan, bersamaan saiz bandar berselerak Los Angeles dan hanya 30 peratus berjaya dikawal, menurut pihak berkuasa bomba negeri, CalFire. Dua dilaporkan maut akibat kebakaran itu.

“Sistem bertekanan tinggi hari ini membawa cuaca lebih panas, kering dan angin kencang ke rantau ini. Kru bomba cuba mengambil kesempatan suhu rendah waktu malam untuk membendung kebakaran,” kata CalFire dalam satu kemas kini.

Ia adalah kebakaran kedua memecah rekod di kawasan terjejas kebakaran, negeri paling ramai penduduk Amerika Syarikat (AS) susulan ‘Thomas Fire’ pada Disember 2017, yang memusnahkan 114,078 hektar kawasan.

Di utara negeri itu, ‘Carr Fire’ membakar lebih 66,530 hektar kawasan sejak 23 Julai lalu dan mengorbankan tujuh orang.

Pada satu ketika ia menjana api umpama pusingan puting beliung.

Pihak berkuasa berkata, ia dicetuskan ‘kegagalan mekanikal sebuah kenderaan’ yang menyebabkan percikan api terbang dalam persekitaran mudah bakar.

Kebakaran itu memusnahkan lebih 1,600 bangunan termasuk kira-kira 1,000 rumah, kata pihak berkuasa negeri. Lebih 14,000 anggota bomba berusaha memadam kebakaran di seluruh negeri itu.

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 3:55pm
d