global

Namaku Muhammad Gempa Rizki

Oleh Agensi

KETIKA kebanyakan mangsa masih trauma dengan kejadian gempa bumi yang melanda Lombok Utara, Indonesia, Ahad lalu, seorang wanita selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Gempa Rizki.

Wanita itu melahirkan bayinya secara normal di Pusat Pemindahan Kecamatan Bayan, Lombok Utara pada jam 5 pagi Isnin lalu.

Berdasarkan maklumat Palang Merah Indonesia (PMI) di laman Twitter, bayi dan ibunya, Sri Handayani, 38, berada dalam keadaan baik dan sihat biarpun ibunya mengalami trauma selepas kejadian gempa berkenaan.

Ketika ini, wanita dan bayinya itu dirawat pasukan sukarelawan bencana di pusat pemindahan terbabit.

“Di sebalik musibah yang melanda #lombok ternyata ada berkah yg tak terkira bagi Ibu Sri Handayani (38). Beliau melahirkan bayi yg sehat dan menggemaskan di posko Kecamatan Bayan, Lombok Utara pukul 5 pagi tadi (Isnin). Bayinya diberi nama Muhammad Gempa Rizki. Semoga sehat selalu,” tulis PMI.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB), gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.9 skala Richter Ahad lalu, mengorbankan kira-kira 128 orang dan menyebabkan 359 mangsa lagi cedera.

Jumlah kematian dijangka meningkat berikutan lebih 13,000 rumah dan bangunan runtuh atau rosak. - TMI

Disiarkan pada: August 7, 2018 @ 9:12pm
d