global

China larang 'Winnie The Pooh'

Oleh Reuters

PERMOHONAN Walt Disney Co untuk menayangkan ‘Christopher Robin,’ sebuah filem memaparkan beruang penggemar madu, Winnie the Pooh, ditolak pihak berkuasa China, kata sumber semalam.

Tidak jelas mengapa kerajaan China menafikan kemasukan filem berkenaan. Sumber berkata, pihak berkuasa China tidak memberi alasan kepada studio Hollywood ketika menolak filem terbabit.

Kerajaan di Beijing menapis imej dalam talian Winnie the Pooh selepas sesetengah pembangkang menyamakan penampilan kartun beruang itu dengan Presiden Xi Jinping dan menggunakan Pooh sebagai simbol penentangan.

China, pasaran filem kedua terbesar dunia juga mengehadkan jumlah filem buatan asing dibenarkan masuk ke negara itu sebanyak 34 filem setahun.

Ia biasanya memilih filem pemecah panggung aksi berat seperti ‘Avengers: Infinity War’ dan ‘Black Panther,’ dua daripada empat filem Disney yang ditayangkan di China setakat tahun ini.

Satu lagi filem, ‘A Wrinkle in Time,’ yang ditayangkan di seluruh dunia Mac lalu tidak ditayangkan.

Dalam ‘Christopher Robin,’ wira dengan nama watak sama, kini dewasa, bersatu semula dengan rakan ketika kecil, Winnie the Pooh dan watak lain seperti Eeyore si keldai dan Piglet. Watak itu dicipta penulis Inggeris, A.A. Milne.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 1:53pm
d