global

Angelina Jolie mohon cerai dimuktamadkan tahun ini

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Aktres Angelina Jolie kelmarin memohon mahkamah mempercepatkan proses perceraiannya dengan aktor Brad Pitt supaya dapat dimuktamadkan pada tahun ini.

Proses memohon cerai pasangan berkenaan sudah memakan masa hampir dua tahun.

Terbaru, peguam Jolie menyerahkan dokumen kepada Mahkamah Tinggi Los Angeles dengan menyatakan bahawa aktres itu meminta kelulusan supaya status mereka ditukar kepada bujang sebelum 2018 berakhir.

Jurucakap aktres itu, Mindy Nyby, berkata penyerahan dokumen itu bertujuan membolehkan perkahwinan mereka ditamatkan secara rasmi dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada masa depan termasuk memikul tugas bersama sebagai penjaga enam anak mereka.

Jolie turut memohon untuk mendapatkan hak penjagaan utama kepada semua anak mereka. Dokumen itu juga menyatakan bahawa Pitt tidak memberi bayaran nafkah sejak pasangan itu berpisah.

Meskipun ada persetujuan tidak rasmi dicapai mengenai pemberian nafkah, pemberian nafkah oleh Pitt dikatakan tidak konsisten.

Wakil Pitt enggan memberi ulasan. Satu lagi sumber kepada aktor itu berkata, ‘Brad adalah seorang yang memenuhi komitmennya.’

Jolie memfailkan perceraian pada September 2016, menamatkan perkahwinan mereka selama dua tahun selain hubungan intim selama 10 tahun yang menjadikan mereka antara pasangan glamor dan berpengaruh Hollywood.

Pitt jarang muncul di khalayak ramai sejak dua tahun lalu manakala Jolie baru-baru ini merakam filem susulan kepada drama ‘Maleficent’ di London dan mengarahkan filem pada 2017 mengenai rejim Khmer Rouge di Kemboja pada 1970-an yang mana lebih sejuta orang maut.

Anak lelaki sulung pasangan itu, Maddox adalah anak angkat berasal dari Kemboja pada 2002.

Disiarkan pada: August 8, 2018 @ 10:21pm
d