global

Mengemis bukan jenayah - Mahkamah

Oleh Reuters

MAHKAMAH Tinggi New Delhi, semalam membatalkan satu undang-undang menetapkan perbuatan mengemis di ibu negara India sebagai satu jenayah.

Keputusan itu dianggap satu kemenangan kepada aktivis yang sekian lama memberi hujah bahawa undang-undang berkenaan digunakan untuk mengugut golongan gelandangan dan miskin.

Ketika memaklumkan keputusan itu, pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan.

“Orang meminta sedekah bukan kerana mereka mahu melakukannya tetapi perlu berbuat demikian. Mengemis adalah jalan keluar kedua terakhir sebelum memohon bantuan secara langsung.

“Menjadikan perbuatan mengemis satu jenayah adalah pendekatan yang salah dalam menangani punca masalah dan melanggar hak asasi golongan paling lemah,” kata pemangku Ketua Hakim, Gita Mittal dan Hakim Hari Shankar dalam satu keputusan 23 muka surat.

India tidak ada perundangan di peringkat Persekutuan mengenai perbuatan mengemis atau isu kemelaratan. Kira-kira 20 negeri meluluskan Akta Pencegahan Mengemis Bombay 1959 yang mengenakan hukuman tahanan selama tiga hingga 10 tahun di zon kediaman pengemis.

“Kami puas hati dengan keputusan mahkamah dan menjangka pihak berkuasa negeri memberhentikan tindakan undang-undang ke atas pengemis,” kata seorang aktivis hak asasi, Harsh Mander, ketika dihubungi Reuters.

Delhi mempunyai seramai 46,724 orang gelandangan, yang terbanyak di India - menurut bancian 2011. Kumpulan hak asasi berkata angka sebenar adalah tiga kali ganda lebih tinggi.

Dalam keputusannya, mahkamah menyatakan, kehadiran pengemis bermakna pihak berkuasa gagal memberi khidmat asas kepada penduduk.

Aktivis berkata, berpuluh ribu kanak-kanak di seluruh India menjadi mangsa suntikan dadah, dipukul dan dipaksa mengemis oleh pihak pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mereka untuk tujuan mendapat wang.

Disiarkan pada: August 9, 2018 @ 7:04pm
d