global

Etnik Hui bantah perobohan masjid

Oleh Agensi

RATUSAN anggota etnik Hui Muslim China dilaporkan melancarkan bantahan dalam usaha terakhir menghalang rancangan merobohkan masjid baharu dibina di bandar terpencil barat laut negara itu.

Akhbar South China Morning Post (SCMP) Hong Kong dalam laporannya berkata, kumpulan etnik itu berkumpul di luar Masjid Agung di bandar Weizhou di rantau autonomi Ningxia Hui.

Menurut imej dalam talian, sekumpulan besar etnik itu datang bersama dalam dataran di luar Masjid Agung Weizhou, struktur putih dihiasai sembilan kubah dan empat menara.

Menurut notis dikatakan dikeluarkan kerajaan Weizhou bertarikh 3 Ogos lalu dan dikongsi dalam talian, jawatankuasa pengurusan masjid diberi tempoh akhir sehingga Jumaat (hari ini) untuk merobohkan bangunan yang tidak diberi kelulusan perancangan dan permit pembinaan.

“Jika jawatankuasa pengurusan gagal mematuhinya, kerajaan akan secara paksa merobohkannya mengikut undang-undang,” kata notis.

Namun sumber rapat dengan kerajaan Ningxia berkata, selepas beberapa hari rundingan antara pihak berkuasa dan pemimpin agama, semalam, kerajaan bersetuju tidak akan merobohkan masjid namun akan menanggalkan lapan kubahnya.

Pejabat jawatankuasa Parti Tongxin dan kerajaan tempatan gagal dihubungi untuk mengulas selepas beberapa jam ketika bantahan berterusan sehingga lewat malam semalam.

Seorang penduduk Weizhou, yang mana namanya dirahsiakan SCMP berkata, beliau mendengar cadangan alternatif itu namun ramai penduduk Islam tidak mahu melihat kubah dirobohkan.

“Kami kini dalam pertikaian. Orang awam enggan membenarkan kerajaan menyentuh masjid, namun kerajaan enggan beralah,” katanya.

Pembinaan masjid baharu itu selesai tahun lalu. Ia menggantikan menggantikan masjid Weizhou berusia 600 tahun yang dimusnahkan ketika Revolusi Budaya bersama ribuan kuil lain, gereja dan biara di seluruh negara.

Arahan kerajaan itu mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat Islam Hui, dengan ramai mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menghalang pembinaan masjid berkenaan, yang mengambil masa dua tahun jika ia tidak mendapat kebenaran diperlukan.

Rakaman video dilihat SCMP menunjukkan kenderaan polis diparkir di dataran itu sementara di masjid, lebih 10 bendera China berkibar ditiup angin.

Dua kain rentang merah juga dipasang pada dinding luar masjid, satu bertulis: “Menyokong Parti Komunis China, mempertahankan penyatuan etnik, melindungi kebebasan beragama.”

Walaupun kehadiran sejumlah besar etnik terbabit, bantahan diadakan secara aman dan akhbar tidak menerima sebarang laporan keganasan sehingga malam semalam.

Pertikaian di bandar Weizhou di daerah Tongxin dalam Rantau Autonomi Ningxia Hui, adalah konflik terbaharu dan kemungkinan terbesar dalam kempen terkini bagi menyingkirkan apa yang dianggap Beijing sebagai aliran Islamisasi dan Arabisasi di rantau itu.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 12:27pm
d