global

Protes minoriti Arab Israel

Oleh Reuters

BERIBU-ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv semalam menentang undang-undang baharu Israel yang mengisytiharkannya sebagai negara bangsa Yahudi, undang-undang yang menimbulkan kemarahan minoriti Arab di negara itu dan kritikan dunia.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mempertahankan undang-undang ini yang menyebut hanya orang Yahudi mempunyai hak menentukan nasib mereka sendiri dan menyingkirkan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, menyifatkannya sebagai sesuatu yang perlu dilakukan untuk menangkis halangan Palestin terhadap penentuan nasib orang Yahudi.

Penunjuk perasaan, yang kebanyakannya minoriti Arab Israel, mengibarkan bendera Palestin sambil membawa sepanduk yang tertulis ‘persamaan’ dalam bahasa Arab dan Ibrani.

“Undang-undang ini membenarkan sentimen perkauman,” kata Laila al-Sana, 19, dari kampung Bedouin di selatan padang pasir Negev, Israel.

Penduduk Arab Israel terdiri daripada keturunan Palestin yang menetap di tanah milik mereka selepas perang 1948 ketika pembentukan kerajaan Israel moden.

Beratus ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka atau melarikan diri.

Mereka membentuk kira-kira satu perlima daripada sembilan juta penduduk di negara ini.

Undang-undang Israel memberikan mereka hak sama rata, tetapi ramai mendakwa mereka berdepan diskriminasi dan dianggap sebagai warga kelas kedua.

Disiarkan pada: August 12, 2018 @ 7:35pm
d