global

Alasan kos rawatan anak

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang penganggur ditahan bersama bapanya kerana membuat dan menjual wang palsu untuk mengumpulkan wang bagi kos perubatan anak perempuannya, lapor media tempatan.

South China Morning Post melaporkan, lelaki berusia 26 tahun itu mengaku melakukan operasi wang palsu bersama bapanya berusia 46 tahun kerana memerlukan wang untuk rawatan anak perempuannya yang menghidap penyakit kongenital yang tidak didedahkan.

Polis menyerbu kediaman dua beranak itu di Lizin, wilayah Anhui pada Mei lalu dan merampas wang palsu berjumlah 2.5 juta yuan (RM1.5 juta), lapor Bozhou Evening News.

Akhbar itu melaporkan, lelaki yang cuma dikenali sebagai Wang mendapat perhatian polis selepas berbelanja melebihi kemampuannya.

Seorang anggota polis dipetik berkata: “Wang membuat kajian berhubung teknologi memalsukan wang di Internet sejak tahun lalu sebelum membeli peralatan diperlukan untuk melakukannya di rumah.”

Serbuan polis menemui tiga mesin pencetak dan penyepuh yang sedang menghasilkan wang palsu.

Polis turut menemui lebih wang tunai 240,000 yuan (RM143,000) di lokasi itu yang diakui Wang hasil jualan duit palsu 100 yuan dengan harga 8 yuan (RM4.80) setiap satu.

Menurut Wang, dia berusaha memperbaiki kualiti ‘wang’ dicetak, manakala ayahnya ditugaskan mencetak serta menjualnya.

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 12:20am
d