global

Kerana hutang, enam sekeluarga maut

Oleh Agensi

PADAH dibebani hutang dadah, enam sekeluarga maut apabila rumah mereka dibakar kartel dadah dalam kejadian di Makassar, Indonesia, 6 Ogos lalu.

Menurut laporan media Indonesia, mangsa terdiri daripada dua warga emas, dua wanita dan seorang lelaki dewasa serta seorang kanak-kanak.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila seorang daripada keluarga terbabit dibebani hutang dadah sebelum kartel itu bertindak membakar rumah mangsa.

Ketua Gerakan Nasional Anti-Narkotika, Henry Yosodiningrat berkata, tindakan kartel terbabit sangat biadap kerana sanggup membunuh satu keluarga.

"Inilah biadapnya sindiket dadah. Hanya kerana hutang, mereka sanggup membakar satu keluarga," katanya.

Henry berkata, beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan terperinci dan menghapuskan sindiket dadah di negara itu habis-habisan.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 9:37am
d