global

Pelakon 'X-Men' hilang

Oleh AFP

KEHILANGAN aktres ternama China, Fan Bingbing mencetuskan persoalan orang ramai, serentak dengan siasatan pihak berkuasa berhubung tuduhan bahawa pelakon bertaraf antarabangsa itu melarikan diri dari membayar cukai.

Aktres, model dan penerbit berusia 36 tahun itu sudah sekian lama mencipta nama di China dan turut meraih kejayaan di Hollywood menerusi watak dalam filem blockbuster ‘X-Men: Days of Future Past’ yang diterbitkan pada tahun 2014.

Bingbing yang lazimnya aktif di media sosial secara tiba-tiba dikatakan ‘lenyap’ dan tidak kelihatan di khalayak ramai sejak beberapa minggu lalu.

“Apakah Fan Bingbing akan dipenjara?” tanya seorang daripada ratusan ribu netizen yang memuat naik perkara berkaitan beliau di laman media sosial popular di China seperti Weibo manakala sebilangan besar lagi membuat spekulasi bahawa aktres berkenaan diharamkan dari berlakon serta dikenakan tahanan rumah.

Masalah menyelubungi Bingbing bermula Mei lalu apabila bekas penyampai rangkaian televisyen China Central Television (CCTV), Cui Yongyuan memuat naik kontrak yang menunjukkan beliau menerima rasuah.

Dokumen dimuat naik Yongyuan itu memperlihatkan bagaimana Bingbing secara rasmi membayar 10 juta yuan (RM6 juta) untuk sebuah projek dan menerima bayaran tambahan secara tidak rasmi sebanyak 50 juta yuan (RM30 juta) untuk tugasan selama empat hari.

Kontrak itu yang lazimnya dikenali sebagai ‘yin dan yang’ di China sering digunakan untuk dua tujuan iaitu pengisytiharan cukai dan melarikan diri dari cukai.

Selepas ia tular di internet, pengurusan cukai negara dilaporkan sudah mengarahkan pihak berkuasa di wilayah Jiangsu untuk menyiasat penggunaan dokumen seumpama itu dalam industri hiburan.

Disiarkan pada: August 14, 2018 @ 6:43pm
d