global

8 pra sekolah Singapura 'diserang' HFMD

Oleh Agensi

SINGAPURA: Enam pusat jagaan kanak-kanak dan dua tadika di sini, dikenal pasti sebagai kelompok penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Menurut laman web The New Paper, data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) menunjukkan 1,249 kes HFMD dicatatkan dari 29 Julai hingga 4 Ogos lalu, iaitu jumlah tertinggi yang direkodkan dalam tempoh seminggu, sepanjang tahun ini.

Sebanyak 868 kes dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Selain itu, terdapat juga peningkatan kes membabitkan enterovirus A71 (EV-A71), iaitu jenis virus lebih agresif yang menyebabkan kematian dua kanak-kanak di Malaysia.

Menurut maklumat terbaharu yang dimuat naik di laman web MOH Jumaat lalu, enam pusat penjagaan kanak-kanak terbabit ialah Agape Little Uni di Compassvale; Skool4Kidz di Sengkang Riverside; My First Skool di Punggol; Lorong 5 Toa Payoh dan Edgefield Plains, serta PCF Sparkletots di Queenstown.

Manakala, dua tadika terbabit ialah St James’ Church Kindergarten di Harding Road dan Little Tree House di Westwood.

Kes kelompok berlaku selepas pra sekolah terbabit melaporkan lebih 10 kes HFMD atau ‘kadar jangkitan’ lebih tinggi berbanding 13 peratus dan tempoh jangkitan lebih daripada 16 hari.

Sementara, kadar jangkitan merujuk kepada kadar kanak-kanak yang direkodkan akibat terkena jangkitan penyakit.

Bagaimanapun, semua pusat jagaan kanak-kanak dan tadika itu masih beroperasi seperti biasa.

Pada masa sama, jurucakap MOH berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan kes HFMD di Malaysia.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 1:49pm
d