global

Duterte kecam China

Oleh AFP

PRESIDEN Rodrigo Duterte menggesa China ‘mengurangkan’ tindak tanduknya di Laut China Selatan dalam kritikan jarang dilakukan terhadap kuasa ekonomi Asia berkenaan berhubung program pembangunan pulau di perairan yang menjadi rebutan itu.

China menimbulkan kebimbangan dan kemarahan jirannya dengan menuntut kekuasaan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan dan pembinaan siri pulau buatan dan pangkalan udara tentera.

Namun Duterte yang dikenali bermulut celupar, yang mahukan perdagangan dan pelaburan dari Beijing, mengambil sikap berdiam diri.

Dalam perubahan nada, Duterte berkata dalam ucapan lewat semalam bahawa China tidak mempunyai hak menuntut ruang udara di kawasan pulau buatan manusia.

Pegawai Filipina mendakwa juruterbang tentera berulang kali diberi amaran oleh Beijing apabila pesawat mereka mendekati pulau Thitu yang dikawal Manila, terletak di sebelah pangkalan udara China yang dibina di atas Terumbu Subi.

“Anda tidak boleh mencipta pulau. Ia dibina oleh manusia dan anda berkata ruang udara di atasnya milik anda.

“Itu salah kerana perairan itu dianggap laut antarabangsa dan hak laluan sah sudah dijamin,” katanya, menurut transkrip yang disiarkan istana presiden hari ini.

Duterte juga menegaskan tidak mahu bertengkar dengan China.

Komen itu dibuat susulan dakwaan Mei lalu bahawa China mengganggu tentera Filipina di satu lagi wilayah Laut China Selatan.

Penasihat keselamatan Duterte, Hermogenes Esperon, memberitahu wartawan ketika itu Filipina akan melancarkan perang ‘jika rakyatnya di situ cedera’.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 3:54pm
d