global

12 jam curi Red Bull

Oleh AFP

SEKUMPULAN pencuri melarikan lebih 300 palet minuman Red Bull bernilai kira-kira sejuta euro (RM4.64 juta) dari sebuah depo di Belgium, yang disifatkan polis semalam sebagai rompakan ‘amat profesional’.

Minuman pemberi tenaga itu, dengan slogan ‘Red Bull berikan anda sayap’, dicuri Ahad lalu dari kawasan perindustrian di daerah Menin di sempadan Perancis.

Mereka mengambil masa 12 jam dan melakukan perjalanan berulang kali untuk melarikan minuman bersamaan 11 trak itu dari depo berkenaan, yang berada di lebuh raya menghubungkan bandar raya Ghent ke Lille di utara Perancis.

Sumber polis Belgium memberitahu, mereka menggunakan imej kamera keselamatan untuk mengenal pasti suspek dan tidak menolak kemungkinan mereka mendapat bantuan orang dalam.

Akhbar Belgium berbahasa Belanda, Het Laatste Nieuws memperolok-olokkan slogan jenama itu, menyatakan ‘nampaknya 950,000 tin diberikan sayap’.

Red Bull dihasilkan pada 1980-an oleh ahli perniagaan Austria, Dietrich Mateschitz dan menjadi penaja utama sukan termasuk lumba motor.

Disiarkan pada: August 15, 2018 @ 6:59pm
d