global

Bayi tertimbus selamat merangkak keluar

Oleh Agensi

BEIJING: Ikhtiar seorang kanak-kanak kecil merangkak keluar dari runtuhan batu besar dalam kejadian tanah runtuh berjaya menyelamatkan dirinya, Selasa lalu.

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu tertimbus hampir empat jam sebelum berjaya keluar dari situasi bahaya berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 petang itu, dia memanjat keluar melalui lubang yang sudah ditebuk oleh anggota bomba di bandar Lushui, wilayah Yunnan.

Rakaman yang didedahkan oleh Jabatan Bomba Yunnan menunjukkan situasi cemas itu apabila anggota penyelamat menarik keluar kanak-kanak itu selepas dia mula keluar dari rekahan batu terbabit.

Bomba menggunakan alat pengesan untuk menentukan lokasi kanak-kanak terbabit sebelum menebuk lubang pada dinding sambil menenangkan mangsa yang sedang menangis ketakutan.

Dia kemudiannya diserahkan kepada ibu bapanya yang tidak dapat menahan sebak melihat anak mereka terselamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

Disiarkan pada: August 17, 2018 @ 10:36pm
d