global

'Aidiladha kami di kem sementara'

Oleh Reuters

RATUSAN ribu mangsa gempa bumi yang terselamat di pulau Lombok, Indonesia menyambut Aidiladha di kem sementara semalam, dalam suasana penuh kesyukuran selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 500 orang.

Penganut Islam bersolat dan bertakbir bersama, meraikan acara korban secara terbuka di sawah padi serta kawasan khemah.

Penduduk berkata, ramai mangsa menerima ternakan tambahan sebagai sumbangan untuk upacara korban.

“Pada masa lalu, daging korban diagihkan masjid kepada mereka yang memerlukan, namun kini kami semua sama, tiada perbezaan antara yang kaya dan miskin.

“Apa yang penting adalah kami bersama berlindung dalam kem sementara,” kata Rafiqah yang kehilangan tempat tinggal bersama keluarganya dalam satu daripada insiden gempa bumi.

Gegaran yang berlaku di pulau popular dengan pelancong kerana pantainya meranapkan keseluruhan perkampungan dan majoriti masjid di utara, memaksa lebih 350,000 orang lari menyelamatkan diri kerana bimbang gempa susulan.

Gempa bumi itu menyebabkan sekurang-kurangnya AS$340 juta (RM1.39 bilion) kerosakan, kata pihak berkuasa minggu lalu dan usaha bantuan serta kerja pembinaan sedang dijalankan.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 7:50am
d