global

Cowell dapat bintang Hollywood Walk of Fame

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Produser televisyen dan hakim musim pertama rancangan bakat ‘American Idol,’ Simon Cowell, mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame.

Sambil ditemani Kelly Clarkson, pemenang pertama ‘American Idol’, jutawan muzik dan televisyen dari Britain itu menceritakan pengalamannya sebagai hakim rancangan realiti, produser rekod dan pencipta francais ‘The X Factor’, ‘America’s Got Talent’ dan ‘Britain’s Got Talent.’

“Ia adalah 18 tahun yang menakjubkan. Jika sesiapa mengatakan kemasyhuran adalah perkara tidak baik, saya tidak tahu apa yang anda perkatakan. Ia adalah perkara terbaik di dunia,” kata Cowell, 58.

Cowell mencatat nama terkenal sebagai hakim ‘American Idol’ dari 2001 hingga 2010 berikutan kritikan tajam terhadap bakal penyanyi, sering memulakan ayat “Saya tidak bermaksud untuk biadab tetapi...”

Beliau melancarkan ‘The X Factor’ di Britain dan Amerika Syarikat (AS) serta versi ‘Got Talent’ di kedua-dua negara selain mengikat kontrak dengan pemuzik lelaki One Direction dan wanita, Fifth Harmony menerusi syarikat rekod miliknya, Syco.

Clarkson berkata, Cowell mempunyai bakat mengesan individu dengan bakat asli dan mentah serta mengasahnya.

“Beliau menghargai jika anda menjadi diri sendiri dan itu sesuatu yang amat jarang. Dalam industri ini saya fikir, orang mahu anda menyesuaikan diri dengan keadaan,” kata penyanyi pemenang Grammy itu.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 10:14am
d