global

Google sekat lebih 60 akaun dikaitkan Iran

Oleh AFP

GOOGLE berkata semalam, ia menyekat saluran YouTube dan akaun lain berhubung kempen salah maklumat dikaitkan Iran, susulan langkah sama dilakukan Facebook dan Twitter.

Syarikat teknologi itu berkata, ia bekerjasama dengan firma keselamatan siber, FireEye serta akaun dikaitkan dengan Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) sejak Januari 2017.

“Kami mengenal pasti dan menamatkan sejumlah akaun dikaitkan dengan organisasi IRIB yang menyembunyikan kaitan mereka.

“Pihak yang terbabit dalam operasi pengaruh seperti ini melanggar dasar kami dan kami segera mengeluarkan kandungan seperti itu daripada perkhidmatan dan menamatkan akaun mereka,” kata Naib Presiden Google Kent Walker dalam satu kenyataan.

Google menjadi perkhidmatan dalam talian terbaharu melakukan tindakan keras terhadap usaha salah maklumat berpunca daripada Russia dan Iran dengan sasaran jelas mencetuskan huru-hara dan kekeliruan sebelum pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada November.

Gergasi teknologi itu berkata, ia menyekat 39 saluran YouTube yang menarik sejumlah 13,466 paparan di AS berkaitan ‘video relevan’ dan menyekat enam akaun di Blogger serta 13 akaun di rangkaian sosial Google+.

“Sebagai tambahan kepada perisikan yang kami terima daripada FireEye, pasukan kami menyiasat secara meluas pihak mencurigakan dikaitkan Iran yang terbabit dalam usaha ini,” kata Google.

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 8:12am
d